Buku Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism
Buku terbitan Sisters In Islam (Sis) ini sudah dua tahun diharamkan oleh Menteri Dalam Negeri. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi di sini telah mendapati keputusan pengharaman itu sebenarnya tidak sah dan tidak munasabah.
Dengan keputusan tersebut, Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof membenarkan permohonan Sis untuk membatalkan pengharaman buku berjudul Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism (Wanita Islam dan cabaran terhadap fahaman Islam melampau) yang dibuat pada 31 Julai 2008.
Dalam penghakimannya, beliau berpendapat bahawa pengedaran buku yang mengandungi 215 muka surat itu tidak mengugat keselamatan negara memandangkan hanya tujuh muka surat daripadanya yang dikatakan melanggar garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Beliau menegaskan, selain daripada melakukan kesilapan dari segi undang-undang, tindakan Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan buku yang telah berada dalam pasaran selama dua tahun itu juga dilihat tidak rasional dan tidak munasabah.