|
Syafia menjadi mangsa ketika dia hadir di dalam sebuah keluarga pincang dan kesudahannya, riwayat kanak-kanak ini berakhir sebelum sempat mendapat simpati sesiapa. Kes Syafia menjadi saksi betapa hari ini nilai keinsanan semakin menipis dari hati manusia. Apabila institusi kekeluargaan tidak lagi berpaksi kepada kebaikan, segala kemungkinan yang buruk boleh terjadi. Dan malang sekali, apabila kanak-kanak dan bayi adalah individu yang paling terdedah kepada akibat buruk seperti dibuang, dibunuh atau didera.
Banyak sekali versi cerita yang disiar akhbar termasuk penduduk kampung tertipu tentang status perkahwinan mereka, ibu Syafia berdolak dalik memberi fakta, ada bukti Syafia pernah didera; dan datuk dan nenek Syafia sudah menaruh curiga, namun semua kenyataan dan bukti itu sudah terlewat. Tiada sesiapa mengambil tindakan sepatutnya sehingga Syafia terpaksa redha dengan seksaan yang diterima.
Lebih menyedihkan, hayat-hayat terakhir Syafia didera teman lelaki ibunya di kawasan terbuka dan sudah pasti banyak mata yang menjadi saksi. Minit-minit terakhir itu bukanlah ‘drama’ untuk tontonan orang awam dan anak kecil yang tidak berdaya itu tidak mendapat bantuan sesiapa walaupun ramai yang menyaksikan dia dipukul dengan kejam. Mengapa jadi begitu? Apakah tidak ada sesiapa yang berani ke hadapan untuk menegah lelaki tersebut daripada terus memukul, menyepak anak kecil itu hatta kalau yang dipukulnya itu adalah anaknya sendiri? Tegakah kita melihat si kecil itu terus-terusan dibelasah? Kenapakah tidak ada seorang pun daripada sekian ramai yang melihat mahu menarik dan menyelamatkan anak kecil itu dari kerakusan kaki seorang lelaki yang tidak berhati perut. Apakah ia sebuah sandiwara percuma? Layak ditonton sahaja? Mana perginya sifat keprihatinan masyarakat kita? Tiada lagikah semangat tolong menolong yang suatu ketika dahulu cukup sinonim di dalam masyarakat kita? Kembalikan semula semangat tolong menolong dan ambil peduli kerana inilah yang membantu kita membendung segala macam permasalahan sosial yang semakin hari semakin meruncing.
Itu belum lagi dikira soal kepatuhan kepada agama. Ibu Syafia dan teman lelakinya sudah tinggal bersama sejak beberapa tahun. Bersekedudukan sudah jelas haram tetapi mengapa dihalalkan oleh ahli keluarga? Kalaulah agama didahulukan…pastinya hari ini, adik Syafia masih lagi ada peluang bermain dengan abang dan adiknya yang kini sarat menahan kerinduan. Dan jika benar agama menjadi pegangan, kanak-kanak comel ini tidak akan kaku di dalam balutan kain kafan!
Sesungguhnya, kematian Syafia adalah satu tragedi. Kematian tragis Syafia di dalam sebuah masyarakat yang aman dan terkenal dengan budi bahasa yang tinggi seolah satu tamparan yang hebat buat kita. Berhentilah menuding jari menyalahkan pihak itu dan ini. Yang pasti, tidak lama lagi kebenaran pasti terbukti dan semoga mereka yang melakukan kezaliman ini menerima hukuman yang setimpal. Meski hiba dan kesal kita menggunung tinggi, redhakanlah pemergian Syafia, anak kecil yang tidak berdosa. Doa buat arwah Syafia, tiada siapa lagi yang boleh menyakiti kerana pastinya dia kini sudah bahagia di sisi Yang Maha Mengasihani!
Kita yang masih hidup perlu renungi rentetan kisah ini dan mengambil iktibar kerana ia wujud dari kepincangan sebuah institusi kekeluargaan. Kita perlu ingat bahawa kita tidak diuji dengan kemusnahan alam tetapi kita diuji dengan kemusnahan dan keruntuhan akhlak dan masalah sosial masyarakat kita yang semakin hari semakin meresahkan.
|