ISLAM SATU CARA HIDUP, HALAL BUKAN HANYA PADA MAKANAN
   
   
     

 

Masyarakat > Citra > Uar - Uar > Enam Logo Halal Swasta Diharamkan

Notis Maklumat Dan Arahan Enam Logo Halal Swasta Diharamkan


Mohammed Khusrin menunjukkan sijil halal yang diharamkan (kiri) dan sijil halal yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Selangor di Shah Alam semalam.

ENAM LOGO HALAL SWASTA DIHARAMKAN – MAIS

Masalah ketidakseragaman logo halal semakin kerap diperkatakan. Malah akhbar KOSMO! bertarikh 6 Mac ada mendedahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengharamkan dengan serta merta penggunaan logo halal yang dikeluarkan oleh enam buah syarikat swasta di semua restoran, kafe, hotel dan medan selera di sekitar Selangor.

Kesemua syarikat itu yang selama ini mengeluarkan sijil halal kepada kira-kira 100 pengusaha restoran dan makanan di negeri ini dilarang menerima permohonan baru untuk mendapatkan sijil tersebut.

Keenam-enam syarikat terbabit ialah Bahtera Lagenda Sdn. Bhd., Islamic Food and Research Council (IFRC), SAS-H Consultancy, Perak Religious Officer Association, Halal Food Council S.E.A dan IFANCA International.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, bagi pengusaha premis pula, mereka diarahkan supaya tidak lagi menggunakan logo halal terbabit sebaliknya perlu segera membuat permohonan semula dengan pihaknya atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Justeru kami menyeru agar, JAKIM perlu bertindak segera bagi mengelakkan timbulnya keraguan di kalangan masyarakat berhubung tanda logo halal yang sewajarnya digunakan. Penggunaan sepenuhnya logo JAKIM perlu disegerakan kerana setiap permohonan perlu melalui prosedur yang rapi sebelum diluluskan. Selain itu, JAKIM sentiasa menjalankan pemantauan terhadap syarikat yang telah memohon logo halal JAKIM.

Keuntungan bukanlah dasar utama JAKIM kerana ia adalah badan kerajaan yang tidak mengaut keuntungan seperti syarikat swasta. Penggunaan satu logo memudahkan rakyat selain mengelak kekeliruan berhubung logo halal mana yang perlu digunapakai. Di samping itu, dengan adanya penggunaan satu logo halal, pengguna boleh menyemak kesahihan Halal di Direktori Halal, JAKIM. Paling penting meningkatkan keyakinan pengguna terhadap sesuatu produk.

Penetapan satu logo halal di negara ini sekali gus memartabatkan dan mengukuhkan lagi Malaysia sebagai Halal Hub Antarabangsa di mata dunia.

Pengharaman enam logo halal itu di seluruh negeri kerana terdapat banyak keraguan dari segi hukum syarak apatah lagi MAIS tidak pernah mengiktirafnya. Menurut KOSMO! lagi, MAIS menjelaskan kenapa tanda logo halal itu diharamkan adalah disebabkan juga syarikat-syarikat terbabit didapati tidak menjalankan pemantauan selepas mengeluarkan sijil logo halal kepada pemohon seperti yang dilakukan oleh MAIS dan JAKIM.

Tindakan tegas MAIS turut mendapat sokongan padu dari JAKIM dan Majlis Agama Negeri. Begitupun menurut Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mereka tidak boleh mengambil sebarang tindakan kepada pengusaha yang menggunakan sijil halal yang keluarkan oleh pihak swasta kerana tiada peruntukan yang mewajibkan pengusaha menguna sijil halal dari JAKIM dan MAIM sahaja.

Begitu juga dengan Majlis Agama Negeri lain seperti Pulau Pinang, Terengganu, Johor dan Perak turut tegas dalam menangani penggunaan tanda logo halal di negeri masing-masing.

www.dunyahalal.com melihat isu tanda logo halal sebagai hal yang perlu ditangani dengan segera. Selaraskan penggunaan tanda logo halal JAKIM di setiap negeri kerana secara tidak langsung ia boleh menyelesaikan kekeliruan masyarakat berhubung tanda logo halal yang sepatutnya digunakan.

 

LOGO HALAL SWASTA YANG DIHARAMKAN

IFANCA INTERNATIONAL


HALAL FOOD COUNCIL S.E.A

1. BAHTERA LAGENDA SDN BHD
2. ISLAMIC FOOD AND RESEARCH COUNCIL (IFRC)

Terima kasih kepada kosmo.com.my dan Bernama di atas maklumat ini.

kemaskini : 8 Mac 2010